Keyboard Jawi


ARABIC VIRTUAL KEYBOARD

Permata Pantai Timur

Terengganu klasik


MusicPlaylistView Profile
Create a playlist at MixPod.com

Ahad, 13 Julai 2008

KENALI PRESIDEN PAS

Yang Berhormat Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Haji Awang adalah anak jati Kampung Rusila, Marang,Terengganu. Dilahirkan bulan Zulhijjah 1366 bersamaan 20 Oktober 1947 merupakan seorang pemimpin yang sentiasa mendekati rakyat terutamanya kaum petani dan para nelayan. Berbekalkan ilmu agama yang telah disemai dalam jiwanya sejak kecil lagi, beliau telah menjadi insan yang dihormati dan disegani terutama di persada politik tanah air mahupun antarabangsa.

LATAR BELAKANG KELUARGA
Tuan Guru Hj.Abdul Hadi Hj. Awang merupakan anak ke-5 daripada 9 orang beradik tetapi 4 daripadanya telah meninggal dunia. Ayahandanya, Hj. Awang Mohamad bin Abd Rahman manakala bonda beliau Hajjah Aminah Yusuf. Kedua-duanya telah meninggal dunia.

Ayah dan bonda beliau merupakan anak jati di kampung Rusila tempat Tuan Guru Hj. Abdul Hadi tinggal sekarang. Ayahanda beliau merupakan Tok Guru di Kampung Rusila begitu juga dengan bondanya menjadi tempat rujukan dan tumpuan masyarakat terutama dalam hal-hal berkaitan agama.

Tuan Guru Hi.Abdul Hadi telah mendirikan rumahtangga dengan Zainab Awang Ngah pada tahun 1976. Manakala perkahwinan beliau yang kedua pada tahun 1991 dengan Dr. Norzita Taat berasal Negeri Sembilan. Hasil perkahwinan beliau dengan kedua-dua isterinya telah dikurniakan 14 orang zuriat iaitu 11 dari isteri pertama dan 3 dari isteri kedua.

PENDIDIKAN
YB Tuan Guru Hj. Abd Hadi mendapat pendidikan awal dari ayahandanya tahun 1955, seterusnya di Sekolah Rendah Rusila, tahun 1961. Beliau meneruskan pengajian di Sekolah Arab, Marang selama 5 tahun.

Dari tahun 1965 hingga 1968 beliau mendapat peluang melanjutkan pengajian di Sekolah Menengah Ugama Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu. YB. Tuan Guru Hj. Abd Hadi meneruskan pengajian di Universiti Islam Madinah dii peringkat Ijazah Pertama dengan tajaan biasiswa oleh kerajaan Arab Saudi. Kemudian melanjutkan pengajian pada tahun 1974 hingga 1976 untuk peringkat Sarjana Siasah Syariah (MA) dari Universiti Al-Azhar, Mesir.

YB. Tuan Guru Hj. Abdul Hadi pernah memegang jawatan Pegawai Yayasan Islam Terengganu dari tahun 1977 hingga 1978. Pada tahun yang sama juga beliau diamanahkan sebagai Pengerusi Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Terengganu.

PENGLIBATAN DALAM P0LITIK TEMPATAN
Tuan Guru Hj. Abdul Hadi melibatkan diri dalam arena politik sejak 1964 sewaktu masih menuntut lagi. Beliau pernah menjadi Setiausaha PAS, Cawangan Kg. Rusila sehingga tahun 1969. Selepas balik dari luar negara tahun 1976, beliau telah memegang jawatan Ketua Pemuda PAS Terengganu, kemudian pada 1977 menjadi Ahli Jawatankuasa PAS Pusat. Tahun 1983 dilantik menjadi Naib Presiden PAS. Apabila Dato' Hj. Fadzil Mohd Noor dilantik menjadi Presiden PAS, Tuan Guru Hj. Abdul Hadi dipilih menjadi Timbalan Presiden PAS.

Berikutan Ustaz Fadzil kembali ke rahmatullah, beliau dilantik memangku jawatan Presiden PAS pada tahun 2003. Beliau menjadi Presiden PAS hingga sekarang selepas disahkan di dalam muktamar pada tahun 2005.

Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang mula bertanding pada pilihanraya 1978, di Dun Marang tetapi beliau kalah dengan kekurangan 64 undi sahaja kepada calon Barisan Nasional, Tengku Zahid. Bagaimanapun pada pilihan raya 1982 beliau dapat mengalahkan Tengku Zahid dengan majoriti 320 undi. Pada tahun 1986, beliau menang sekali lagi di DUN Rhu Rendang (nama baru DUN Marang selepas persempadanan semula) tetapi kalah di Parlimen Marang dengan majoriti yang tipis. Beliau kemudiannya berjaya memenangi Parlimen Marang pada pilihan raya 1990, 1995 dan 1999 disamping mengekalkan DUN Rhu Rendang hingga sekarang.

Selepas kemenangan PAS di Terengganu pada November, 1999, Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang dilantik menjadi Menteri Besar Terengganu sehingga Mac,2004 disamping menjadi Ahli Parlimen sebelum dipertanggungjawabkan sebagai Ketua Pembangkang dari tahun 2003 hingga 2004.

PENGLIBATAN DI PERINGKAT ANTARABANGSA
Pada tahun 1994, YB. Tuanguru Hj. Abdul Hadi dilantik menjadi Ahli Jawatankuasa Penyelaras Gerakan Islam yang berpusat di Istanbul , Turki. Menjadi AJK penyelaras gabungan parti-parti politik yang menangani isu Pa1estin berpusat di Amman , Jordan . Tahun 1990, menjadi, Majmak Takrik Mazhab Islami yang berpusat di Tehran , Iran . Beliau juga menyertai rombongan parti-parti Islam ke Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang dipimpin oleh Dr. Najmuddin Erbakan, bekas Perdana Menteri Turki pada tahun 1990 dalam usaha untuk menyelesaikan krisis Telok. Rombongan ini berbincang dengan Setiausaha Agung PBB ketika itu, Butros-Butros Ghali.

KEGIATAN LUAR
Walaupun Tuan Guru Hj. Abdul Hadi merupakan seorang ADUN, tetapi beliau tetap memberikan khidmatnya kepada penduduk Kampung Rusila khususnya memberi kuliah, ceramah seterusnya menjadi pakar rujuk dalam bab-bab agama.

Tanggungjawab Tuan Guru Hj. Abdul Hadi untuk memberi ilmu dan nasihat kepada rakyatnya, tidak pernah diabaikan walaupun beliau sibuk dengan tugas rasminya di DUN dan Parlimen. Hari Jumaat, Sabtu dan Ahad merupakan masa beliau menyampaikan ilmu kepada rakyat.

Hobinya suka memancing, menjala dan menaiki bot tidak pernah dilupakan. Beliau juga gemar ke laut untuk menikmati keindahan alam. Kebijaksanaan Tuan Guru Hj.Abdul Hadi membahagikan masa antara tugas sebagai wakil rakyat, pendakwah, ayah dan suami menyebabkan beliau amat disenangi oleh seluruh rakyat khususnya pengundi di Marang.

Semuanya ini menjadi hobi Tuan Guru sebelum menjadi wakil rakyat lagi. Gelaran Yang Berhormat tidak sedikitpun menjejaskan imejnya untuk turun ke sungai memancing dan menjala ikan, serta memelihara kuda yang disayangi.

Pendek kata kewibawaan, keilmuan, kesufian, serta sifat tawadhuknya meletakkan Tuan Guru Hj Abdul Hadi amat disenangi rakyat dan merupakan seorang pemimpin yang wajar dicontohi dan memang ditunggu-tunggu untuk membawa perubahan kepada negara ini.

JENIS-JENIS DEMAM DENGGI

TERDAPAT empat bentuk demam denggi dan bukan semuanya membahayakan dan akan membunuh.



(1) Denggi dengan demam biasa

Demam denggi jenis ini merupakan yang paling kerap berlaku dengan simptom demam seakan-akan selesema dan bertahan selama satu hingga dua hari sahaja. Pesakit juga tidak mengalami tanda-tanda lain demam denggi klasik dan kebiasaannya pesakit sendiri tidak mengetahui dirinya dijangkiti virus denggi.

(2) Demam denggi klasik

Pesakit yang menghidap bentuk demam denggi ini akan mengalami demam yang tinggi secara tiba-tiba, dengan suhu badan boleh mencecah 40°C. Pesakit juga akan berasa sakit serta sengal pada sendi di seluruh badan di samping sakit kepala dan sakit di dalam bebola mata. Rasa mual, muntah- muntah, pedih ulu hati dan senak perut, hilang selera makan dan cirit birit pula adalah antara simptom denggi yang sering diabaikan pesakit dan dianggap sebagai masalah kesihatan biasa. Pesakit juga akan mengalami ruam kemerahan dan gatal-gatal yang mula timbul pada hari ketiga atau keempat selepas mula demam.

(3) Demam denggi berdarah (DDB)

Demam denggi jenis ini menjadi antara penyakit paling digeruni tetapi ia sebenarnya jarang berlaku dan hanya lima peratus daripada pesakit DDB yang meninggal dunia. Malangnya, ia juga lebih kerap berlaku di kalangan kanak-kanak dan golongan muda akibat jangkitan berulang virus denggi dari jenis yang berbeza. Pesakit biasa mendapat DDB antara hari ketiga hingga ketujuh demam, bermula dengan tanda pendarahan pada gusi, hidung, mata, kencing berdarah, najis berdarah (hitam seperti tar jalan), muntah atau batuk berdarah dan pendarahan pada kulit (bintik hitam atau lebam). Pesakit juga mungkin mengalami pendarahan dalaman dengan tanda takungan darah dalam abdomen atau lapisan pleura paru-paru. Ini berlaku akibat saluran darah yang lusuh (darah keluar ke tisu, pleura dan abdomen), menyebabkan kepekatan darah meningkat.



Selain itu, saluran darah kecil yang pecah dan kandungan platelet menurun juga boleh menyebabkan perdarahan, sama ada yang ringan atau berat. DDB bukan sahaja boleh menyebabkan maut akibat pendarahan luaran malahan boleh membunuh akibat renjatan hasil pendarahan dalaman yang sukar dikesan. Semua pesakit denggi berpotensi membentuk DDB walaupun jika dijaga dengan rapi berikutan tindakbalas antibodi badan.



DDB juga boleh dipecahkan lagi kepada empat gred mengikut simptom jangkitan seperti:



Gred 1: Demam dan simptom lain yang tidak khusus dan ujian tourniquet yang positif (menunjukkan pendarahan berlaku)

Gred 2: Tanda-tanda Gred 1 bersama pendarahan secara rawak (tiba-tiba)

Gred 3: Tanda kegagalan aliran darah (denyutan nadi laju/lemah, tekanan darah rendah, kulit lembap/sejuk)

Gred 4: Kesan renjatan yang jelas sehinggakan nadi dan tekanan darah tidak dapat dibaca.



(4) Sindrom Kerenjatan Denggi (DSS)

DSS juga sama dengan gred 4 DDB. Bentuk demam denggi ini sebenarnya yang paling bahaya dengan kadar kematian yang amat tinggi akibat renjatan (shock) hasil kehilangan cecair darah (pendarahan) ke dalam organ seperti paru-paru, perut dan kulit. Badan pesakit dengan DSS biasanya kelihatan seperti mengembang, dengan tanda-tanda DDB yang disertai tekanan darah yang jatuh mendadak. Semua simptom DSS boleh muncul selepas tiga hingga enam hari demam bermula. Suhu badan pesakit akan berubah dengan tiba-tiba, dari amat panas kepada suhu bawah normal, bacaan platelet jatuh mendadak dan paling penting, tekanan darah amat rendah sehinggakan gagal mendapatkan bacaan. Sakit tulang atau tulang belakang yang dirasakan seperti hendak meletup juga merupakan simptom biasa bagi semua peringkat demam denggi kecuali denggi dengan demam biasa.



Antara petanda awal DDB mungkin berkembang kepada DSS adalah:



Sakit perut (abdomen) yang teramat sangat dan berpanjangan, muntah berterusan.

Perubahan suhu badan secara tiba-tiba dari demam kepada hipotermia, disertai peluh dan kelesuan, rasa gelisah dan cemas.

Jangkitan pada otak dan saraf pula boleh menyebabkan gangguan tahap kesedaran, sawan, lumpuh dan kekejangan leher.

Jangkitan hati pula akan menyebabkan rasa sakit pada bahagian kanan perut (bengkak hati) dan mata kuning. Jantung dan paru-paru juga boleh dijangkiti.